Insya Allah, penulisan ini merupakan ringkasan (yang mungkin tak lengkap) pengisian yang disampaikan oleh akh Addam Effendy semasa ijlis bina di Dataran Pahlawan tempoh hari. Tapi sebelum tu, pengenalan ringkas, siapa akh Adam Effendy ni? Ok, akh Adam ni merupakan seorang lulusan ekonomi daripada London School of Economics. Kini, sudah empat tahun berkhidmat di UEM, dekat dengan KL Sentral. Nak kenal lebih, boleh stalk akaun Facebook beliau. Eheh.
Akh Adam berkongsi satu hadis syamail (hadith yang memerihalkan fizikal Rasulullah) yang pernah dia dengar di IKIM.fm. Dalam kitab Syamail Muhammad tulisan Imam at-Tirmidzi pun ada menyebut hadis ni dan pernah juga dikongsi juga oleh akh Talhah dalam daurah AT di Putrajaya dulu;
“... Ketika Rasulullah SAW wafat, uban di janggut dan rambut baginda tidak melebihi dua puluh helai.”
Secara literalnya, apa yang boleh kita faham ialah sepanjang hayat baginda sehinggalah ke saat terakhir baginda hidup, baginda cuma ada beberapa helaian uban berwarna putih di tubuh baginda, tak lebih daripada 20 helai. Agak pelik bukan? Sedangkan apa yang kita mafhum, baginda wafat pada umur 63 tahun - satu umur dimana menjadi kelaziman untuk manusia normal, beruban di seluruh rambut dan janggut. Hipotesis yang selalu kita percaya; semakin berumur seseorang itu, semakin banyaklah uban dikepalanya. Tapi hal ini ternyata berbeza dan tak terjadi kepada Rasulullah.
Jadi, apa rahsia baginda untuk kekal ‘awet muda’ sedemikian rupa? Ada teori disebalik perkara ini yang disebut oleh akh Adam, iaitu ‘teori riang gembira’. Satu perkara yang kita sedia maklum, ada beberapa perkara yang mempengaruhi pertumbuhan uban pada manusia. Pertama, pastinya faktor penuaan atau peningkatan usia, kedua, faktor genetik dan ketiga, emosi terutamanya tekanan perasaan atau stress.
Menariknya, di usia lebih enam puluh tahun, baginda mempunyai rambut dan janggut yang majoritinya tidak berwarna putih. Sedangkan, tugas baginda sebagai utusan Allah sepatutnya menjadikan baginda sebagai orang yang paling tertekan di atas dunia ketika itu, refleksi daripada ujian, dugaan dan mehnah yang dihadapi oleh baginda. Jika kita telusuri sirah perjuangan baginda, Rasulullah telah diduga dengan pelbagai bentuk ujian. Lihat sahaja apa yang telah direkodkan sejarah; tiga tahun dipulau daripada sebarang bentuk muamalah dan hubungan ketika di Mekah, dihina dan dicerca secara terbuka semasa dakwah di Thaif, kesedihan semasa kematian Au Thalib dan Khadijah, kecederaan di medan Uhud dan sebagainya. Namun, semua itu langsung tidak berjaya menzahirkan bibit-bibit tekanan pada baginda. Kenapa?
Kata akh Adam, ada satu ayat dalam al-Quran yang membuatkan baginda benar-benar stress dan beruban (berdasarkan maksud hadis);
“Maka istiqamahlah (tetaplah) engkau (di jalan yang benar), sebagaimana telah diperintahkan kepadamu dan orang yang bertaubat bersamamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sungguh, dia maha melihat apa yang kamu kerjakan.”
(11 : 112)
Tidak ada ayat yang lebih berat dan sukar dilakukan selain ayat yang terletak di surah Hud ini yang jelas menuntut baginda untuk terus istiqamah dalam dakwah yang baginda lakukan. Tetapi, dalam ayat-ayat lain dalam al-Quran, ada dijelaskan ganjaran kepada mereka yang beristiqamah, iaitu;
“Sesungguhnya orang-orang yang berkata, “Tuhan kami adalah Allah,” kemudian mereka tetap istiqamah, tidak ada rasa khuatir pada mereka dan mereka tidak bersedih hati.”
(46 :13)
“Sesungguhnya orang-orang yang berkata, “Tuhan kami adalah Allah” kemudian mereka istiqamah (teguh dengan pendirian) mereka, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka, “Janganlah kamu berasa takut dan janganlah kamu bersedih hati dan bergembiralah kamu dengan syurga yang dijanjikan kepadamu.”
(41 : 30)
Sekiranya ayat 112 surah Hud menjadikan Rasulullah beruban, tapi ayat 13 surah al-Ahqaf dan ayat 30 surah al-Fusilat mejadikan baginda sebaliknya. Secara mudahnya, apa yang boleh kita faham jika diteliti kedua ayat ini dan juga faktor penyebab uban tadi, perkaitannya cukup mudah;
Istiqamah Dakwah = Gembira/Tak sedih = Tak stress = Tak beruban
Dengan kata lain, baginda enjoy dalam berdakwah dan melaksanakan SH. Suka untuk saya kaitkan dengan ayat yang ditadabbur semasa walimah akh Talhah di Johor tempoh hari;
“Dan janganlah kamu lemah, dan jangan kamu bersedih hati, kerana kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang yang beriman.’’
(3 : 139)
Jangan lemah, jangan bersedih sekiranya kita benar-benar beriman. Ramai daripada kita yang bersungguh-sungguh mahu melakukan perubahan, mahu melaksanakan SH dengan sebaik-baiknya, dan pastinya mahu melihat Islam kembali tertegak UA seperti zaman khilafah Abassiah dahulu, walaupun kita semua masih merangkak. Tapi malangnya, jiwa kita (kita termasuk saya) tidak bersedia untuk menghadapi cabaran dan dugaan yang datang dalam gerabak ini. Ramai antara kita yang mudah berasa tertekan, sedih dan susah hati . Kesannya? Jadilah kita lemah di atas jalan ini, tak macam Rasulullah yang enjoy dan berasa riang gembira dalam dakwah dan tarbiah.
Oleh itu, kuatkan jiwa, bergembiralah kita semua, berfungsi sebagai seorang manusia dengan fungi yang sebenarnya. Barulah boleh jadi macam Rasulullah, meskipun baginda berhadapan dengan segala dugaan, di akhir hayatnya, baginda hanya ada dua puluh helai uban sahaja. Tak perlu stress, jom melaju dengan penuh bergaya tanpa uban di kepala, kekal awet muda :)
Lagi satu, ini teori sahaja. Dalam sains pun ada beza antara teori dengan hukum/prinsip/theorem (law/principle/theorem). Hukum/prinsip/theorem merujuk kepada fenomena atau perkara benar yang boleh diterangkan melalui model eksperimen. Contohnya, Newton’s Law of Motion, Bernoulli’s Principle, Gas Law, Hess’s Law dan Law of Thermodynamics. Berbeza dengan teori, kita anggap fenomena tu betul, tapi tak boleh dimodelkan secara eksperimen. Contohnya, Einstein’s Theory of Relativity, Big Bang Theory, Atomic Theory, Germ’s Theory dan Darwin’s Theory of Evolution (kecuali yang ni). Tapi ‘teori riang gembira’ ni ada dalil kot! Haha.
Nota kaki : Nak uji teori ni senang sahaja, kita all out dengan penuh riang gembiranya buat SH, dah tua (insya Allah ,dipanjangkan usia), kita kira, uban siapa paling banyak di kepala. Hehe.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan